Tuesday, December 28, 2010

Terapi Menulis DaN Bercakap SeoranG DiRi..

Menulis tidak sama dengan bercakap.




Kedua-dua terapi ini jauh berbeza sama sekali. Dari segi gaya melakukannya, keadaan rohani fizikal spiritual, dan dari segi kadar impak.

Aktiviti bercakap seorang diri, kita tidak akan mengedit semula apa yang kita cakapkan. Jadi, kita akan bercakap saja tanpa ada ‘dinding-dinding kebodohan’ yang menghalangnya. Kita tidak khuatir, kerana kita bercakap seorang diri. Namun, terapi ini kurang efektif jika ada orang lain di depan kita. Kerana orang Melayu lebih tahu, “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.’” Itulah dinding kebodohan.

Menulis pula terbahagi dua. Menulis dengan keyboard dan pensil. Kedua-dua gaya ini juga punya ‘dinding kebodohan.’ Tidak kira, menulis untuk diri sendiri, ataupun menulis untuk orang lain, kita masih menjadi editor pertama tidak rasmi kepada tulisan sendiri.

Menulis dengan Keyboard

Saya mempelajari teknik menulis yang baik daripada Tuan Zakaria Sungib (kami menggelar beliau sebagai Pak Ya dalam dunia editorial), editor senior dan veteran daripada Galeri Ilmu Sdn. Bhd. Menurut beliau, bagi tulisan kita yang pertama, langgar saja segala kesilapan yang berlaku, biarpun ada tersalah taip, tertinggal perkataan atau gaya bahasa yang kurang baik, teruskan menulis sampai idea kita terhenti. Kemudian, sesudah habis menulis penuh satu artikel atau novel, peram tulisan kita, lakukan aktiviti lain seperti memasak, tidur, melancong, ataupun menulis perkara yang lain. Setelah berminggu-minggu kita peram tulisan itu, kita buka semula dan lakukan edit yang pertama.

Tip ini juga sama dilakukan oleh seorang penyajak muda; yang sudah banyak saya pelajari daripadanya; Tuan Fahd Razy. Penyajak berpendidikan perubatan ini menasihatkan hal yang sama, jika kita ingin menjadikan sajak atau puisi kita yang bagai jeruk itu, amat masam dan sedap dihadam (diedit) semula.

‘Dinding kebodohan’ ketika menulis dengan keyboard, adalah butang BACKSPACE. Setiap kali menulis, kita sentiasa akan mengedit apa yang ingin kita luahkan.

Menulis dengan Pensel.

Dinding kebodohan bagi gaya ini, adalah pemadam ataupun cecair pemadam mecury (liquid paper). Apabila kita biasa menulis pensel, kita akan tergerak untuk memegang pemadam di tangan yang lagi satu. Mujur, ada sesetengah guru yang perasan akan hal ini, dan mengatasi hal ini dengan bijak. Caranya ialah menggantikan pensel kepada pen mata bulat.

Contohnya, semasa di bangku sekolah dulu, guru Bahasa Melayu saya amat pantang andai ada anak muridnya yang menggunakan cecair pemadam bagi memadamkan kesilapan yang berlaku semasa menulis. Cikgu saya yang berdedikasi itu, (nama beliau adalah Sharifah Azlina, tapi kami menggelar beliau Cikgu Elly) menyaran kami menggunakan pembaris dan garis saja kesilapan itu. Rasionalnya, kita dapat membaca semula apakah kesilapan yang pernah kita lakukan (post mortem) jadi kita tidak akan mengulanginya. Kesan tidak langsung pula, kita sebenarnya dapat menyusun idea yang mana boleh didahulukan dan dikemudiankan.

‘Dinding kebodohan’ bagi aktiviti menulis adalah sesuatu yang dapat menghilangkan kesilapan kita. Biasalah. Lumrahnya, kita sang manusia adalah editor kepada tulisan kita sendiri.

(Bagaimana saya menggelarnya ‘dinding kebodohan‘ adalah hasil daripada cernaan saya terhadap buku Baka No Kabe. Jadi, saya sendiri yang meminjamkan istilah itu daripada penulisnya, Dr. Yoro.)

Bercakap Seorang Diri

Bagaimana pula dengan terapi bercakap seorang diri? Haaa… bab ini sudah saya ceritakan dalam entri ini. Dipersembahkan dalam bentuk suara pula, bagi menunjukkan betapa efektifnya terapi ini. Selamat mendengar, ya. Hehe.

Faedah dan Konsep Ganjaran

Jadi, sesi luahan rasa dan tekanan bagi bercakap seorang diri dan menulis mempunyai impak yang berlainan. Saya lebih suka menterjemahkan konsep ganjaran bagi kedua-dua aktiviti ini kepada pahala.

Bercakap seorang diri impaknya adalah lebih kepada diri kita sendiri. Manakala menulis pula, kebaikannya adalah kepada diri sendiri dan penambahan ilmu kepada orang lain juga. Justeru, kita lebih nampak, bukan? Yang mana satu lebih mendatangkan pahala yang banyak?
(Saya tidak berniat menanam unsur tamak dalam mengejar pahala. Cuma mungkin saya sedikit terkesan dengan buku “Meraih Pahala Besar dengan Sedikit Amal,” yang berkongsi bagaimana umat Islam perlu kreatif dan ikhlas secara serentak semasa beramal soleh.)

Jadi, hati-hati dengan apa yang anda tulis, dan cakapkan.

Kerana kedua-duanya,

bisa membawa kita ke syurga,

juga ke neraka.

(Diulangi, KITA.)

No comments:

Post a Comment