Sunday, December 5, 2010

Hijrah dan Intipati Sejarahnya..

Peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w. dengan sahabat-sahabatnya dari kota Mekah ke kota Madinah merupakan peristiwa yang sangat penting kepada umat Islam seluruh dunia, dan peristiwa ini sering diperingati pada setiap tahun. Selama 13 tahun Rasullulah menjalankan usaha dakwahnya di Mekah, menyeru kaum kafir Quraish supaya beriman dengannya, namun usaha ini hanya diterima oleh segelintir kecil sahaja dari kalangan mereka. 13 tahun bukanlah satu masa yang singkat, lebih-lebih lagi dalam masa tersebut dipenuhi dengan berbagai-bagai rupa kezaliman dan kekejaman, penderitaan dan azab sengsara. 

Kemuncak dari kekejaman dan penyeksaan musuh-musuh Islam ialah keazaman bulat untuk membunuh baginda Rasullullah s.a.w. Hanya dengan pertolongan daripada Allah sahaja yang dapat melepaskan Rasullullah s.a.w. daripada rancangan dan niat jahat musuh-musuh Islam ini. Setelah mendapat pembelaan dan pertolongan daripada Allah, maka berlakulah penghijrahan Rasullullah dari kota Mekah ke kota Madinah bersama-sama dengan sahabat baginda saidina Abu Bakar as Siddiq di tengah malam yang gelap pekat pada tahun 622 Masihi.

Motif sebenar hijrah baginda Rasullullah ini bukanlah kerana putus asa, atau kerana kelemahan atau kerana lari dari kekejaman dan penyeksaan atau kerana takut mati dan bacul untuk menghadapi musuh. Tetapi motif sebenatnya ialah akidah dan agamanya dari fitnah musuh, kerana membawa akidah dan agamanya ke bawah naungan langit yang tenang dan damai, sehingga hijrah itu menjadi wajib ke atas setiap mukmin yang berkuasa dan terdaya.

Tegasnya kedamaian dan ketenangan dalam menganuti akidah dan agamanya itulah motif hijrah. Oleh hal yang demikian maka beberapa hijrah yang terdahulu daripada itu telah diizinkan sebelum hijrah ke kota Madinah secara umum dan menyeluruh dibenarkan.

Hijrahnya Rasullullah s.a.w. dan para sahabat dengan segala pengorbanan dan kesusahan, adalah semata-mata kerana menyahut seruan Allah bagi meninggalkan buat sementara negeri Mekah yang ketika itu dipenuhi dengan kekufuran dan kesyirikan. Mereka menuju ke kota Madinah untuk mendirikan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai Islam menurut ajaran Allah dan RasulNya.

Justeru itu, peristiwa hijrah adalah peristiwa yang amat penting dalam sejarah Islam dalam konteks mendirikan sebuah masyarakat Islam di Madinah. Oleh sebab itu, hijrah merupakan kewajipan utama yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam ketika itu, kerana tanpa hijrah tersebut masyarakat Islam tidak dapat dibentuk. Dalam berhijrah, terkandung tiga perkara yang tidak boleh dipisahkan, iaitu Iman, Hijrah dan Jihad.

Iman menjadi titik tolak untuk berhijrah. Hijrah pula merupakan suatu ujian kepada kekuatan iman, yang kelak akan menghasilkan jihad ke jalan Allah, dan menerusi jihad pula akan menjamin kejayaan di dalam perjuangan menegakkan masyarakat Islam. Ketiga-tiga rangkaian inilah yang telah disebutkan oleh Allah dalam surah at Taubah ayat 20, yang maksudnya;
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (yakni daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang haji dan orang-orang memakmurkan masjid sahaja), dan mereka itulah orang-orang yang berjaya."

Umat Islam di zaman Rasullullah s.a.w. telah beriman dengan Allah dan telah berhijrah bagi mendirikan masyarakat Islam, dan mereka juga telah berjihad di jalan Allah. Oleh itu, mereka telah memperolehi kejayaan di dunia dan juga di akhirat. Iman sahaja tidak mencukupi untuk menjadi seorang hamba Allah yang taat. Iman yang benar-benar ikhlas dan jujur akan mendatangkan hasil yang dapat dilihat. Hasil iman ialah amal yang bersungguh-sungguh menurut segala ajaran Allah, dan berusaha menghasilkan sebuah masyarakat Islam yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai keIslaman.

Sejarah telah menceritakan kepada kita kisah-kisah yang istimewa dan jarang ditemui apabila masyarakat Islam pertama hendak didirikan di Madinah pada tahun 622 Masihi, iaitu ketika berlakunya peristiwa hijrah Rasullullah s.a.w. Kisah-kisah ini sebenarnya menggambarkan suatu pengorbanan yang besar yang telah diberikan oleh umat Islam bagi menyahut seruan Allah dan rasulNya bagi mendirikan sebuah masyarakat Islam di Madinah. Oleh kerana mendirikan masyarakat Islam itu merupakan suatu tanggungjawab yang wajib dipikul oleh setiap individu Muslim, maka semuanya rela menunaikan amanah itu dengan penuh ikhlas dan jujur hingga terlaksananya pembentukan masyarakat Islam pertama di Madinah al Munawwarah.

Hijrahnya umat Islam dari Mekah ke Madinah adalah untuk menyahut panggilan Allah dan RasulNya bagi mendirikan sebuah masyarakat Islam yang ideal, yang akan menjadi contoh selama-lamanya. Usaha seperti ini tidak akan berjaya tanpa iman yang kukuh dan pengorbanan yang besar dan ikhlas hanya kerana Allah. Di mana kesemuanya ini dilakukan hanyalah untuk mencari keredhaan Allah dan bukan kerana kepentingan peribadi ataupun sebagainya.

Iman yang sebeginilah yang telah berjaya ditanam dan dipupuk oleh baginda Rasullullah s.a.w. kepada pengikutnya, dan natijahnya dapat dilihat daripada peristiwa hijrah. Iaitu iman yang bukan hanya disebut dilidah, tetapi iman yang terukir di dalam hati, iman yang mengisi segala ruang hatinya. Iman yang teruji adalah iman yang kukuh dan teguh, iman yang bersih dan jernih. iman yang benar dan jujur, iman yang tinggi dan terbukti. Oleh hal yang demikian hubungan antara iman dan ujian merupakan hubungan yang pasti dan tabii. Tiada ujian pada hakikatnya adalah tiada iman, iaitu iman yang teruji dengan nama, dengan kedudukan dan pangkat, teruji dengan harta dan kekayaan, teruji dengan kelazatan dan keseronokan kebendaan, kesenangan dan kemewahan, dan teruji dengan hawa nafsu dan keindahan yang palsu.

Seterusnya peristiwa hijrah mengajar kita supaya mengenal erti jihad. Jihad dengan pengertiannya yang luas meliputi segala bidang usaha dna amal, perjuangan dan pengorbanan, sama ada denga lisan atau kalam, sama ada dengan ilmu pengetahuan, wang atau harta kekayaan, ataupun sama ada dengan mata pedang atau nyawa dan tubuh badan. Jihad yang dipamerkan oleh umat terdahulu menerusi hijrah ialah jihad untuk membela dan membantu Allah dan RasulNya. Iaitu membela agama Allah dengan erti dan konsep yang didatangkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui wahyuNya iaitu al Quran, dan bukannya Islam seperti yang difahami oleh manusia-manusia yang jahil kepada hakikat Islam.

Jiwa jihad tidak mungkin hidup pada setiap Muslim dan juga pada umat Islam tanpa mereka mempunyai rasa cintakan Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya. Iaitu lebih dari ibubapanya, anak isterinya, atau saudara-maranya, atau dari harta benda dan pangkat dan ketinggian. Jelasnya, tanpa rasa cintakan Islam tidak mungkin sama sekali akan sanggup berjihad kerana Allah.

Justeru itu, jelas kepada kita kenapakah hijrah yang telah dilakukan oleh Rasullullah bersama-sama dengan para pengikutnya itu telah berjaya mencapai matlamatnya, di mana mereka telah berjaya mencapai kemenangan yang besar untuk mempertahankan akidah dan agama dan menyebar-luaskan deen yang suci ini ke seluruh dunia.

Bagaimanakah pula kita umat Islam masakini. Adakah konsep hijrah yang telah dirakamkan oleh sejarah telah dapat kita fahami dan hayati, sepertimana yang yang telah ditunjukkan oleh pengikut Rasullullah s.a.w. Apa yang jelas dalam kehidupan umat Islam kini menggambarkan kita amat jauh daripada menghayati konsep hijrah. Hijrah sepatutnya membawa perubahan dalam hidup ke arah yang lebih baik, sempurna dan diredhai Allah. Di mana hasilnya ialah kemenangan kita dalam mempertahankan akidah, agama, cara hidup dan nilai-nilai yang kita amalkan.

Di antara ciri-ciri kemenangan yang perlu ada pada diri kita sebagai seorang Islam menerusi penghayatan hijrah ialah;

1. Seorang yang beriman kepada Allah dan taat serta patuh kepada segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya
2. Orang yang beriman dengan Rasullullah s.a.w., memuliakannya, menolong dan membelanya, dan mengikuti cahaya kebenaran yang diturunkan oleh Allah melaluinya.
3. Orang yang sentiasa membersihkan jiwanya.
4. Orang yang mendapat petunjuk daripada Allah s.w.t.
5. Orang yang berjihad dengan harta benda dan dirinya.
6. Orang yang bertaqwa, bertaubat, dan sering mengingati Allah.

Akhirnya perlulah kita fahami bahawa hijrah merupakan syiar keimanan, sama ada hijrah dari suatu tempat kekufuran, kemusyrikan dan kejahilan kepada tempat yang dinaungi akidah keimanan dan hakikat kebenaran. Atau hijrah dari kemaksiatan, kemungkaran dan kefasikan kepada ketaatan, kemakrufan dan kesalihan. Seterusnya hijrah dari ketaatan kepada ketaqwaan dan seterusnya kepada mendekatkan diri kepada Allah. Demikianlah juga hijrah dari dunia kepada akhirat, iaitu hijrah dari cintakan dunia kepada cintakan Allah dan hari akhirat.

rencana ini dipetik dari :
http://www.ikim.gov.my/v5/index.php/imagesweb/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=2224&cmd=resetall

* semoga kita sama2 mendapat ibrah dari sejarah hijrah Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم

No comments:

Post a Comment