Monday, February 7, 2011

Mahasiswa Kini Giat Memplagiat


Kumpulan 6 (Group 2) Usuluddin

1 Najihah Bt Yahaya 5351
2 Nor Hidayah Binti Zakaria 5434
3 Amirah Binti Sa’ad 5457
4 Siti Balkis Bt Ismail 5314
5 Nurul Hidayah Bt Ishak 5304

Menurut kamus dewan, plagiat atau plagiarisme merupakan perbuatan mencedok kata-kata, idea karya milik orang dan mengaku sebagai karyanya sendiri. William L.Kibler (1993) telah mendefinisikan plagiat sebagi ketidakjujuran akademik dan satu bentuk penipuan yang digunakan ramai pelajar tanpa memberi kredit kepada penulis asal. Kegiatan ini, tanpa disedari akan memberi kesan negatif kepada diri mahasiswa itu sendiri, orang lain, masyarakat, negara dan agama.

Mahasiswa yang sering melakukan kegiatan memplagiat ini adalah berkemungkinan besar dari kalangan mereka yang menyiapkan tugasan di saat-saat akhir dan suka untuk bersenang-lenang di atas hasil usaha orang lain, tanpa disedari mereka menganiaya diri sendiri kerana perbuatan sedemikian boleh mengakibatkan mereka dibuang dari universiti. Sepertimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan Universiti Malaya, seksyen 56, telah memperuntukkan bahawa sebarang kegiatan plagiat dan penipuan akan dibuang dari universiti. Justeru, adalah satu tindakan yang tepat sekiranya Kementerian Pelajaran Tinggi Malaysia menyelaraskan undang-undang tersebut bagi semua Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia.

Seterusnya, kegiatan ini juga memberi kesan buruk terhadap pemilik asal apabila ideanya diciplak dan dinamakan atas nama penciplak. Kegiatan yang kelihatan remeh ini akan memberi kesan jangka masa panjang jika ianya dilakukan secara berterusan. Antaranya, sumber asal sesuatu idea tersebut akan lenyap dan berkurangnya penulis-penulis yang mahu berkongsi idea secara sukarela dek kerana takut idea mereka dirompak sewenang-wenangnya. Bagi mengelak perkara ini terjadi, pengiktirafan harus diberikan kepada semua penulis dan pemikir agar hakcipta terpelihara.

Lambakan graduan hasil daripada kegiatan plagiat ketika di universiti telah memberikan mereka segulung ijazah, sekaligus menanam harapan di kalangan masyarakat agar mereka dapat berkhidmat terhadap anak bangsa. Mana mungkin graduan sebegini mampu untuk mendidik anak bangsa menjadi umat yang berjaya, ibarat ketam mengajar anaknya berjalan lurus. Harapan masyarakat ke atas mahasiswa amatlah tinggi, oleh itu, mereka haruslah amanah kepada diri sendiri agar melahirkan generasi yang berkualiti di masa hadapan.
Malaysia mensasarkan taraf negara maju dicapai pada 2020. Dikhuatiri kemajuan ini tidak akan menjadi kenyataan berikutan ketandusan masyarakat pemikir yang mampu menyumbang idea untuk mencapai hasrat tersebut. Ini kerana budaya plagiat menyumbang peratusan yang tinggi kepada kemunduran ekonomi negara berikutan ketandusan pemikiran atau idea yang kreatif dan kritis. Justeru itu, bagi mencapai sasaran Malaysia Maju pada 2020, plagiat harus dibanteras secara global dengan mengaktakan jenayah ini.

Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra’ ayat 36 yang bermaksud, “dan janganlah engkau berpegang kepada sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan tentang itu. Sesungguhnya telinga, mata, dan hati semuanya nanti akan ditanya”. Jelaslah di sini bahawa Islam menyeru umatnya menggunakan akal agar kita menjadi umat yang bertamadun dan setiap amalan akan dihitung di akhirat nanti, walaupun sebesar zarah. Senario ini dapat dilihat terhadap graduan yang mempunyai pekerjaan dan pendapatan hasil daripada kegiatan plagiat ketika di universiti, di manakah keberkatannya? Yang demikian itu, sikap amanah mesti diterapkan sedari awal agar keberkatan yang berpanjangan dalam hidup dapat dikecapi.

Kesimpulannya, plagiarisme adalah satu jenayah berat yang memberi impak besar terhadap semua pihak kerana mengikut kajian ke atas 50,000 mahasiswa di Amerika Syarikat oleh Center of Academic Integrity pada Jun 2005 didapati seramai 77% pelajar tidak sedar bahawa plagiarisme adalah satu isu yang serius. Selain kesedaran mahasiswa itu sendiri, satu jalan penyelesaian dicadangkan kepada para pensyarah supaya menggunakan perisian-perisian komputer seperti Turnitin, Scan My Essay dan Word Check System, yang merupakan antara perisian yang cukup komprehensif dan efektif dalam menemukan sebarang unsur plagiarisme tesis dan penulisan akademik pelajar secara atas talian.




BIBLIOGRAFI

- Al-Quran Al-Karim
- Mengapa Al Quran Tidak Bertentangan Dengan Akal?-Dr Abul Wafa Taftazani,m.s3, cetakan kedua terbitan Thinkers Library SDN.BHD.
- Belia 2010.blogspot.com

7Februari2011:1.26tghr di  maktabah KUIN :)